Saturday, March 28, 2020

Bab 1 : Lepas SPM


Kenalkan nama aku Aimi. Aku sebenarnya sangat bertuah kerana lahir dalam keluarga yang berfikiran terbuka, melihat sesuatu lain dari yang lain. Dan bukan sekadar itu, tetapi keluarga yang menyediakan persekitaran yang sangat mendukung.

Singkat cerita, aku antara pelajar yang dikenali di sekolah. Bukanlah rajin sangat, tapi lebih kepada nasib baik. Waktu di sekolah dulu selalu juga kena fikir macam mana nak buat santai supaya cikgu tak nampak yang aku datang lambat sebenarnya. Nama saja pengawas, tapi selalu juga datang lambat. Kalau bab kerja sekolah pula, tak tahu kenapa teringat tentang kerja sekolah hanya pada hari kena hantar. Tepuk dahi sambil senyum kerang saja lah bila cikgu mula minta kumpul, pasrah terima hukuman yang akan diterima. Tapi nasib menyebelahiku. Pada peperiksaan SPM, alhamdulillah berkat doa orang tua, dan guru-guru, aku berjaya memperoleh keputusan yang agak cemerlang.

Setelah itu aku masuk ke Kolej Matrikulasi Melaka. Di sana memang susahnya nak belajar. Hujung hujungnya keputusanku cukup cukup makan saja, memang kalau nak minta perubatan di Malaysia memang orang gelak sahaja. Keputusan UPU pun keluar, berdebar debar rasanya sambil buka sampul.

Sampai sekarang kalau sebut sahaja pasal keputusan tersebut memang akan jadi bahan semua orang. Aku ditawarkan sarjana muda dalam bahagian yang tak pernah ku tahu apa. Encik Google tunjuk pasal satelit. Satelit? Serabut otak. Sangat bukan diriku. Itu lah siapa suruh belajar main-main. “Kalau kita bagus, kita yang pilih tempat kita. Kalau tak bagus, tempat yang pilih kita”, kata-kata Baba terngiang-ngiang di kepala. Menyesal kemudian tiada gunanya. Dah mula pasrah untuk ambil jurusan tersebut, sambil bayangkan diri jadi angkasawan.

“Oh anak bertuah!” Mama kalau termelatah, atau terperanjat, itulah perkataan yang keluar dari mulutnya. Jadi mungkin itu menjadi doa juga buat si anak Mama yang bongsu ni, aku lah tu. Berkat usaha Mama dan Baba, aku berjaya mendapat tawaran dalam bidang perubatan di universiti di Medan, Indonesia. Lama juga aku termangu membaca surat tawaran itu. Belajar perubatan di Indonesia? Jauhnya! Selama ni memang duduk bawah ketiak Mama saja di kampung.

“Ala Mama, nanti Aimi rindu kat Mama macam mana?”, kataku sambil peluk Mama kuat-kuat, konon-konon nak serap kepandaian dan kerajinan mama bawa pergi Medan. “Alahai, Medan tu dekat saja. Kalau rindu sangat, berenang la”, kata Mama sambil ketawa. Terus pelukan erat tadi aku lepaskan, “Haaaa?”.

Muncung juga mulutku. Ingatkan Mama cakap nanti Mama akan datang melawat di sana. Tetapi aku sedar Mama cuma bergurau, dan akhirnya aku ikut ketawa.

1 comment:

  1. Haa seronoknya rasa baca blog orang. Tulis lagi ya Dr. Aimi

    ReplyDelete

Bab 2 : Ospek

“Esok ada OSPEK dan semua orang WAJIB pergi!” Ada senior dari Malaysia yang datang ke hostel kami untuk tolong berikan sedikit gambaran...